Pergi ke kandungan

Nukleon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Semakan 4982476 pada 19:41, 11 Januari 2021 oleh Mrmw (bincang | sumb.)
(beza) ← Semakan terdahulu | Semakan semasa (beza) | Semakan berikutnya→ (beza)
Nukleus atom ialah satu himpunan dua jenis nukleon: proton (merah) dan neutron (biru). Di dalam gambar ini, semua proton dan neutron kelihatan seperti bola-bola kecil yang melekat antara satu sama lain. Hakikatnya, nukleus atom sebenar tidak kelihatan seperti ini, seperti yang difahami dalam fizik nuklear moden. Nukleus sebenar hanya boleh digambarkan oleh mekanik kuantum. Contohnya, di dalam nukleus yang sebenar, setiap nukleon berada di pelbagai tempat serentak dan tersebar di dalam nukleus.

Dalam kimia dan fizik, nukleon ialah salah satu zarah yang membentuk nukleus atom. Setiap nukleus atom terdiri daripada satu atau lebih nukleon, dan satu atom terdiri daripada sekumpulan nukleus yang dikelilingi oleh satu atau lebih elektron. Terdapat dua jenis nukleon: proton dan neutron. Nombor jisim bagi isotop tertentu adalah sama dengan jumlah nukleonnya. Oleh itu, istilah nombor nukleon boleh digunakan untuk menggantikan penggunaan istilah nombor jisim atau nombor jisim atom yang lebih biasa.

Sehingga tahun 1960-an, nukleon dianggap sebagai zarah asas yang tidak boleh dipecahkan menjadi bahagian yang lebih kecil. Sekarang, ia diketahui sebagai zarah komposit yang terdiri daripada tiga kuark yang diikat oleh apa yang dipanggil interaksi kuat. Interaksi antara dua atau lebih nukleon dipanggil interaksi antara nukleon atau daya nuklear, yang juga disebabkan oleh interaksi kuat. (Sebelum penemuan kuark, istilah "interaksi kuat" merujuk hanya kepada interaksi antara nukleon.)

Nukleon terletak di sempadan di mana fizik zarah dan fizik nuklear bertindih. Fizik zarah, terutama sekali kromodinamik kuantum, memberikan persamaan asas yang menjelaskan ciri-ciri kuark dan interaksi kuat. Persamaan ini boleh menjelaskan bagaimana kuark bergabung membentuk proton dan neutron (serta hadron-hadron yang lain). Namun, apabila beberapa nukleon disatukan membentuk nukleus atom (nuklid), persamaan-persamaan asas ini akan menjadi terlalu sukar untuk diselesaikan (lihat kekisi QCD). Sebaliknya, nuklid dikaji dalam fizik nuklear yang mengkaji nukleon dan interaksinya berdasarkan anggaran dan model, seperti dalam model petala. Model-model ini boleh menjelaskan dengan jayanya ciri-ciri nuklid, contohnya sama ada nuklid tertentu boleh melalui pereputan radioaktif.

Proton dan neutron kedua-duanya adalah barion dan fermion. Dalam peristilahan fizik zarah, kedua-dua zarah ini membentuk kembar isospin (I = ​12). Ini menjelaskan mengapa jisim kedua-duanya adalah hampir serupa, dengan neutron hanya 0.1% lebih berat berbanding proton.


Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah dengan templat tunas yang lebih spesifik.