Pergi ke kandungan

Anjing pemburu rubah Amerika

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Semakan 6313431 pada 13:07, 11 September 2024 oleh Amir Hamzah 2008 (bincang | sumb.)
(beza) ← Semakan terdahulu | Semakan semasa (beza) | Semakan berikutnya→ (beza)
Anjing pemburu rubah Amerika
Anjing pemburu rubah Amerika
Nama lainFoxhound Amerika
Nama ringkasFoxhound
Negara asalAmerika Syarikat
Trait
Berat Jantan 55–71 lb (25–32 kg)
Betina 45–65 lb (20–29 kg)
Tinggi Jantan 26–29 in (66–74 cm)
Betina 25–28 in (64–71 cm)
Bulu Pendek, keras
Warna Merah, triwarna, hitam dan sawo matang, biru
Saiz perinduk 5–7 ekor anak anjing
Jangka hayat 10–12 tahun
CatatanAnjing negeri Virginia
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing pemburu rubah Amerika atau foxhound Amerika[a] ialah satu baka anjing yang berkait rapat dengan anjing pemburu rubah Inggeris. Ia merupakan anjing pemburu bau yang dibiakbakakan untuk memburu rubah melalui bau. Bapa Pengasas Amerika Syarikat George Washington merupakan kunci kepada perkembangan awal baka ini.

Foxhound Amerika pada sekitar tahun 1915

Pada tahun 1650, Robert Brooke belayar dari England ke Maryland dengan kawanan anjing pemburunya yang merupakan akar bagi beberapa strain hound Amerika. Anjing daripada susur galur ini yang dikenali sebagai "anjing pemburu Brooke" kekal dalam keluarga Brooke selama hampir 300 tahun, mungkin dalam salah satu catatan pembiakbakaan berdokumen paling panjang untuk satu baka tunggal dan sebuah keluarga.[1]

American Kennel Club mengkreditkan George Washington sebagai Bapa Anjing Pemburu Rubah Amerika.[2] Washington dikatakan pernah mempunyai kecintaan kuat terhadap anjing yang bertumbuh daripada cinta beliau terhadap pemburuan rubah.[3] Washington membiakbakakan anjing pemburu rubah Amerika dengan harapan untuk membiakbakakan kelajuan lebih tinggi dan penjejakan rubah ke dalam baka anjing pemburu yang sudah pun dimiliki.[2] Beliau menerima anjing pemburu rubah Perancis, iaitu anjing pemburu biru besar Gascogne, yang sangat serupa dengan anjing pemburu rakun berbintik biru Amerika, sebagai hadiah daripada Marquis de Lafayette. Pada sekitar dua tahun kemudian, Washington menerima lapan ekor anjing regular dari Philadelphia, Pennsylvania, dan dua ekor anjing "rentak perlahan" dari England.[3] Gabungan anjing-anjing itu, anjing-anjing pemburu rubah Perancis, dan anjing-anjing yang dibela oleh Washington, yang diturunkan daripada anjing Brooke, mewujudkan anjing pemburu rubah Amerika zaman sekarang.

Anjing pemburu rubah Amerika berasal dari negeri Maryland dan negeri Virginia, tempat tinggal Washington, dan merupakan anjing negeri Virginia.[4]

Baka ini dikembangkan semata-mata untuk pemburuan rubah. Dengan pengimportan (atau penghijrahan) rubah merah, anjing pemburu rubah Ireland ditambahkan ke dalam susur galur, untuk meningkatkan kelajuan dan stamina pada anjing, ciri-ciri yang masih kekal pada anjing zaman kini.[5]

Baka ini pertama kali diiktiraf oleh American Kennel Club pada tahun 1886. Kini, terdapat banyak strain berlainan bagi anjing pemburu rubah Amerika, termasuk anjing Walker, anjing Calhoun, anjing Goodman, anjing Trigg, anjing July, dan anjing Penn-Marydel. Walaupun setiap strain kelihatan berlainan, semuanya diiktiraf sebagai anggota bagi baka sama. Kebanyakan anjing pertunjukan merupakan anjing Walker, banyak pula anjing pemburu kawanan, yang digunakan untuk pemburuan rubah secara berkuda), merupakan anjing Penn-Marydel, dan para pemburu menggunakan berbagai-bagai strain untuk disesuaikan dengan gaya perburuan dan buruan mereka.[perlu rujukan]

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Sungguhpun piawaian mensyaratkan untuk anjing pemburu rubah Amerika ketinggian sekitar 21–25 in (53–64 cm) pada paras kelasa dan ukuran berat sekitar 55–71 lb (25–32 kg), ada sahaja banyak yang lebih besar dari segi struktur (terutamanya strain pertunjukan), dengan jantan yang berdiri setinggi 26–29 in (66–74 cm) dan betina yang setinggi 25–28 in (64–71 cm) dan lebih kecil dari segi berat, biasanya 45–65 lb (20–29 kg). Tungkai anjing pemburu rubah adalah panjang dan bertulang lurus. Dada anjing pemburu rubah adalah agak sempit. Ia memiliki muncung panjang dan tengkorak besar berkubah. Telinganya lebar dan terletak rendah-rendah. Matanya hazel atau perang dan besar serta lebar.

Lapis bulu hound rapat dan keras adalah sederhana panjang dengan mana-mana warna, walaupun gabungan hitam, putih, dan sawo matang adalah kerap.[6] Anjing pemburu rubah Amerika cenderung untuk mengganti bulu dengan banyak keguguran, namun pemberusan mingguan bakal mengurangkan ganti bulu.

Anjing pemburu rubah Amerika di Atlanta Steeplechase

Ciri fizikal tersendiri

[sunting | sunting sumber]

Anjing pemburu rubah Amerika diketahui mempunyai salakan muzikal, disebut lolongan, apabila ia berburu yang dapat didengari berbatu-batu jauh, barang kali diwarisi daripada lolongan terkenal anjing pemburu biru besar Gascogne. Ini merupakan salah satu sebab baka ini tidak sesuai di persekitaran bandar.

Anjing pemburu rubah Amerika adalah lebih tinggi dan lebih langsing daripada sepupunya, anjing pemburu rubah Inggeris.[5] Jika bertanding dalam pertunjukan anjing, sesetengah ciri fizikal yang dicari oleh para hakim merupakan tengkorak sedikit berkubah, telinga panjang dan besar, mata besar, muncung lurus, bahu cukup santai, belakang sederhana panjang, kaki mirip rubah, dan ekor sedikit melengkung. Walaupun secara tradisional triwarna (hitam, putih, dan sawo matang), ia mungkin mempunyai apa-apa warna. Ia merupakan antara baka terjarang dalam American Kennel Club.[6]

Tingkah laku

[sunting | sunting sumber]

Anjing pemburu rubah Amerika mempunyai sikap sangat jinak dan manis. Anjing tipikal adalah lembut, santai, dan berbaik dengan kanak-kanak dan haiwan lain.[6]

Paras kegiatan

[sunting | sunting sumber]

Anjing pemburu rubah Amerika ialah baka sangat giat dengan tenaga sangat tinggi. Dengan tungkai lebih panjang yang dibiakbakakan, ia merupakan anjing sangat panjang. Ia memerlukan banyak senaman dan paling sesuai di dalam habitat dengan ruang untuk berlari.

Kebolehlatihan

[sunting | sunting sumber]

Pelatihan kepatuhan adalah penting untuk baka ini kerana sifat berdikarinya dan naluri semula jadinya untuk mengikuti bau. Anjing pemburu yang menangkap bau akan mengikutinya sambil mengabaikan perintah; pelatihan memerlukan kesabaran dan kemahiran kerana sifat berdikari dan kedegilan kadang-kadang pada baka ini. Oleh sebab naluri kuatnya untuk perburuan, anjing pemburu rubah Amerika tidak patut diyakini apabila tidak bercawak. Kebanyakan anjing pemburu bau dibiakbakakan untuk "bersuara", namun anjing pemburu rubah tidak sesuai sebagai anjing penjaga.[perlu rujukan]

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Baka ini pada umumnya tidak membawa gangguan genetik. Walau bagaimanapun, ia dapat semudahnya menjadi berat secara berlebihan apabila diberi makanan secara berlebihan. Salah satu risiko kesihatan kecil pada anjing pemburu rubah Amerika ialah trombositopati atau penyakit platelet (trombosit). Perkara ini berpunca daripada kelemahan fungsi platelet darah dan dapat menyebabkan perdarahan berlebihan daripada kecederaan atau luka kecil. Rawatannya biasanya berdasarkan keparahan penyakit. Para pemilik kerap mengatur ujian darah untuk anjing pemburu rubah Amerika mereka supaya keadaan ini dapat dikesan awal-awal. Sungguhpun displasia kurang dikenali pada anjing pemburu rubah, keadaan ini mula muncul secara mengejut kadang-kadang, bersama dengan sesetengah isu mata. Penyaringan sebarang kecelaruan warisan oleh para pembiak baka anjing pemburu rubah bukan hal tipikal atau kebiasaan pada masa ini. Jangka hayat baka ini pada umumnya ialah 10–12 tahun.

Anjing pemburu Trigg

[sunting | sunting sumber]
Anjing pemburu Trigg jantan

Anjing pemburu Trigg[b] (juga dikenali sebagai anjing pemburu rubah Trigg, foxhound Trigg,[c] atau anjing pemburu Hayden Trigg[d]) ialah satu keragaman bagi anjing pemburu rubah Amerika yang dikembangkan di Kentucky oleh Kolonel Haiden Trigg.

Anjing pemburu Trigg berasal dari Barren Country, Kentucky pada tahun 1860-an apabila penggemar pemburuan rubah Kolonel Haiden C. Trigg berhasrat untuk mengembangkan anjing pemburu lebih pantas daripada anjing yang tersedia di kawasan beliau. Beliau menggunakan anjing dari susur galur Birdsong, Maupin, dan Walker unuk mengembangkan strain beliau.[7]

Menurut W. L. Porter dalam sebuah rencana dalam The Chase, para pemburu rubah tempatan yang melihat anjing-anjing yang dibeli daripada Birdsong mendapati bahawa anjing-anjing ini tidak menarik, namun prestasi anjing-anjing ini bagus juga. Porter menyatakan bahawa anjing-anjing itu "bertubuh kaya, bertelinga terpotong, berbulu kasar, berekor gebu, dan bermulut longgar dan terlihat tidak seperti mana-mana anjing pemburu rubah yang pernah kami lihat" (terjemahan petikan). Kemudian, program pembiakbakaan Trigg berjaya di peringkat tempatan dan di peringkat kebangsaan.[8]

Anjing pemburu Trigg awal

Pada tahun 1910, pemburu buruan besar yang cukup terkenal Paul J. Rainey membeli dua puluh lima ekor anjing pemburu daripada Trigg dan membawa anjing-anjing ini dalam perjalanan perburuan di Afrika, kemudian membeli lebih daripada Trigg, anak beliau Alanson, dan yang lain. Selepas kematian Trigg, sesetengah penggemar mula kehilangan minat dan strain ini menurun dari segi kepopularan, walaupun ada kelompok kecil pembiak baka aktif. Selepas Rainey pulang daripada perjalanan beliau, walau bagaimanapun, beliau mengumumkan bahawa anjing Trigg merupakan "anjing pemburu terbaik dan paling berani di dunia", menyebabkan kepopularannya meningkat lagi dalam kalangan pemburu.[7]

Anjing pemburu Trigg jantan berdiri setinggi 23–24 inci (58–61 sentimeter) pada paras kelasa dan berukuran seberat 45–55 paun (20–25 kilogram) sementara yang betina pula berdiri setinggi 20–22 inci (51–56 sentimeter) dan berukuran seberat 35–45 paun (16–20 kilogram). Keragaman ini mempunyai muncung panjang, telinga tergantung, dan lapis bulu pendek dan licin, dan walaupun terdapat dengan mana-mana warna, Continental Kennel Club hanya mengizinkan anjing triwarna dan dwiwarna. Anjing pemburu Trigg patuh namun "kuat" dan sangat sesuai terhadap perburuan kerana deria baunya dan daya ketahanannya.[5]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو روبه اميريکا; فوک‌سهاءون اميريکا; bahasa Inggeris: American foxhound
  2. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو تريݢ; bahasa Inggeris: Trigg hound
  3. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو روبه تريݢ; فوک‌سهاءون تريݢ; bahasa Inggeris: Trigg foxhound
  4. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو هيدن تريݢ; bahasa Inggeris: Hayden Trigg hound
  1. ^ J. Blan van Urk. "Robert Brooke: America's First MFH". Foxhunting Life (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Julai 2019. Dicapai pada 29 Disember 2023.
  2. ^ a b "Dogs" [Anjing]. George Washington's Mount Vernon (dalam bahasa Inggeris). 2022 Mount Vernon Ladies’ Association. Dicapai pada 29 Disember 2023.
  3. ^ a b Kennedy, Lesley (4 Februari 2020). "George Washington: Founding Father—And Passionate Dog Breeder" [George Washington: Bapa Pengasas—Dan Pembiak Baka Anjing Ghairah]. History.com (dalam bahasa Inggeris). A&E Television Networks, LLC. Dicapai pada 29 Disember 2023.
  4. ^ "Code of Virginia" [Kanuan Virginia]. § 1-510. Official emblems and designations (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Disember 2023.
  5. ^ a b c Pugnetti, Gino (1980). Schuler, Elizabeth Meriwether (penyunting). Simon & Schuster's Guide to Dogs [Panduan Simon & Schuster untuk Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Simon & Schuster. ISBN 9780671255268. OCLC 6200215.
  6. ^ a b c American Kennel Club. "American Foxhound Standard" [Piawaian Anjing Pemburu Rubah Amerika] (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Disember 2023.
  7. ^ a b Muszynski, Julie (23 Oktober 2007). The Red Book of Dogs: Hounds, Terriers, Toys [Buku Merah Anjing: Hound, Terier, Mainan] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). New York, New York, Amerika Syarikat: HarperCollins. ISBN 9780061238871. OCLC 77485905.
  8. ^ Wilcox, Bonnie; Walkowicz, Chris (1995). The Atlas of Dog Breeds of the World [Atlas Baka Anjing di Dunia] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-5). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 113. ISBN 9780793812844. OCLC 32596861.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]

Templat:George Washington