Daerah Kudat
Daerah Kudat | |
---|---|
Negara | Malaysia |
Negeri | Sabah |
Bahagian | Kudat |
Pusat pentadbiran | Kudat |
Pentadbiran | |
• Pihak berkuasa tempatan | Lembaga Bandaran Kudat |
• Pegawai daerah | Sapdin Ibrahim |
Keluasan | |
• Jumlah | 1,287 km2 (497 batu persegi) |
Penduduk (2020)[1] | |
• Jumlah | 86,410 |
• Kepadatan | 67/km2 (170/batu persegi) |
Zon waktu | UTC+8 (WPM) |
Poskod | 89xxx |
Nombor plat | SK |
Laman sesawang | lbkudat |
Kudat ialah sebuah daerah di Bahagian Kudat, utara negeri Sabah, Malaysia. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Bandar Kudat. Antara pekan lain yang terdapat dalam daerah ini termasuklah Pekan Matunggong dan Pekan Sikuati. Majoriti penduduk di daerah Kudat merupakan masyarakat beretnik Rungus.
Etimologi
[sunting | sunting sumber]Nama "Kudat" dipercayai berasal daripada peristiwa peniaga Cina yang hairan melihat rumput lalang tumbuh merata di sekitar Kudat. Mereka kemudiannya bertanya kepada penduduk tentang rumput tersebut. Penduduk yang beretnik Rungus memberitahu mereka bahawa rumput itu bernama “Kutad” yang bermaksud rumput lalang dalam bahasa Rungus. Peniaga Cina yang tidak dapat menyebut perkataan “kutad” kerana pelat telah menyebutnya sebagai Kudat. Lalu nama tersebut digunakan sehingga kini.
Nama "Kudat" juga dipercayai berasal daripada satu peristiwa lain iaitu peristiwa penduduk di pinggir laut yang dikejutkan dengan bunyi yang kuat dari hon sebuah kapal “Santi” ketika mereka sedang tidur. Mereka kemudiannya menjerit “takuddat aku” sambil berlari. Seterusnya perkataan ‘takuddat’ dipendekkan dan menjadi ‘Kudat’. Perkataan ini kemudiannya dikekalkan menjadi nama bagi tempat ini.[2]
Geografi
[sunting | sunting sumber]Daerah Kudat hanya bersempadan dengan daerah Kota Marudu di selatan. Daerah Kudat juga dikelilingi dengan Laut China Selatan, Teluk Marudu, Selat Balabak dan Laut Sulu. Daerah Kudat terbahagi kepada dua kawasan iaitu kawasan Semenanjung Kudat dan kawasan Kepulauan Banggi yang dipisahkan Laut Sulu.
Bentuk muka bumi di kawasan Semenanjung Kudat kebanyakannya tidak sekata iaitu berbukit bukau dan kawasan tanah rendah di pesisiran pantai, manakala bentuk muka bumi bagi Kepulauan Banggi pula adalah lebih kepada daratan rendah dengan titik tertingginya adalah Bukit Sinambung dengan ketinggian 529 meter, juga menjadi titik tertinggi di Daerah Kudat,
Sungai terpanjang di Daerah Kudat ialah Sungai Matunggong dan pulau terbesarnya ialah Pulau Banggi. Pulau Banggi juga merupakan pulau terbesar di Malaysia.
Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Daerah Kudat ditadbir oleh Lembaga Bandaran Kudat yang berpusat di Bandar Kudat. Lembaga Bandaran Kudat juga mentadbir Daerah Kecil Banggi dan Daerah Kecil Matunggong yang terletak dalam daerah ini. Daerah Kudat terbahagi kepada sembilan mukim;
- Mukim Banggi
- Mukim Bengkongan
- Mukim Dualog Sikuati
- Mukim Mangaris
- Mukim Matunggong
- Mukim Pinawantai
- Mukim Tambuluran
- Mukim Tiga Papan
- Mukim Timbang Dayang
Demografi
[sunting | sunting sumber]Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
2000 | 73,349 | — |
2010 | 85,404 | +16.4% |
2020 | 86,410 | +1.2% |
Sumber: [3] |
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Kudat ialah seramai 86,410 orang dengan kepadatan penduduk 67 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sederhana.[4] Majoriti penduduk di daerah Kudat merupakan Bumiputera termasuklah etnik Rungus, Molbog, Kadazandusun, Suluk, Bajau dan Melayu.[5][1]
Status | Bangsa | Jumlah |
---|---|---|
Warganegara | Melayu | 5,488 |
Bumiputera lain | 67,899 | |
Cina | 4,701 | |
India | 39 | |
Lain-lain | 246 | |
Bukan warganegara | - | 8,037 |
Jumlah | 86,410 |
Agama
[sunting | sunting sumber]Di daerah Kudat, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 58 peratus diikuti agama Kristian sebanyak 37 peratus dan Agama Buddha sebanyak empat peratus. Agama Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[1]
Kemudahan
[sunting | sunting sumber]Daerah Kudat dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam di sekitar daerah. Terdapat 58 buah sekolah rendah, 12 buah sekolah menengah, lima buah balai polis, sebuah balai bomba, sebuah hospital daerah, sembilan buah klinik kesihatan, satu klinik komuniti dan lima klinik desa di sekitar daerah.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
- ^ "Sejarah Kudat". Lembaga Bandaran Kudat. Dicapai pada 17 April 2024.
- ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
- ^ a b "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama:0