Al-Arqam

Ajaran sesat

Darul Al-Arqam merupakan gerakan sesat di Malaysia yang diasaskan oleh Ustaz Ashaari Muhammad, ia juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan telah mengembangkan pengaruh sesatnya di kalangan berbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia dan beberapa negara luar seperti Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam, Australia, Mesir, Jordan, UAE, Uzbekistan, China dan lain-lain. Ajaran-ajaran Al-Arqam mendapat sambutan sebilangan masyarakat yang mempercayai ianya sebuah badan dakwah yang unggul sebelum dianggap sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.[1] Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah Islamiah melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan, kebudayaan, multimedia dan pertanian.

Pengasasnya, Ustaz Ashaari Muhammad telah meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru. Jenazah beliau telah disemadikan di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah di Ipoh.[2]

Sejarah

sunting

Nama Al-Arqam diambil daripada nama sahabat Nabi, Arqam bin Abi Arqam. Bermula dengan 10 hingga 12 orang ahli Al-Arqam pada tahun 1968, kemudian bertambah kepada 40 orang ahli jemaah pada tahun 1976, keahlian jemaah ini, menurut Ann Wang Seng, kemudian bertambah secara mendadak pada tahun-tahun berikutnya sehingga pada tahun 1987 jemaah itu mencatat sekitar 5,000 hingga 6,000 keahlian. Namun menurut Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994 dianggarkan seramai 6,000 pengikut yang fanatik dan 15,000 simpatisan. Utusan Melayu (4 Julai 1994) pula melaporkan seramai 10,000 pengikut.

Aktiviti Darul Al-Arqam bermula pada 1971-1972 di Kampung Datuk Keramat dan beroleh perhatian dan penerimaan ramai setelah bertapak di Sungai Pencala pada 1973 -1975

Pemimpin kanan

sunting

Berikut beberapa pemimpin kanan Al-Arqam yang menjadi tulang belakang kejayaan pertubuhan Al-Arqam selama 26 tahun dari 1968 - 1994.

  1. Ustaz Ashaari Muhammad - Pengasas / Syeikhul Arqam
  2. Ustaz Haji Abdul Halim Abbas - Timbalan Syeikhul Arqam
  3. Akhbar Anang - Bekas Timbalan Ustaz Ashaari
  4. Ustaz Mohktar Yaakob - Bekas Timbalan Ustaz Ashaari
  5. Zabidi Mohamed - Penasihat undang-undang Al-Arqam II
  6. Haji Hassan Mokhtar - Setiusaha Majlis Syuyukh
  7. Khairil Anuar Ujang - Penasihat Undang-undang Al-Arqam I
  8. Shuib Sulaiman - Mudir Syukbah Dakwah Dan Perhubungan Antarabangsa Al-Arqam
  9. Ibrahim Mohamad - Mudir Syukbah Mal (Kewangan) Al-Arqam
  10. Jailani Jasmani - Mudir Syukbah Sains Dan Teknologi
  11. Khadijah Aam - Isteri Ustaz Ashaari
  12. Khadijah Din
  13. Pak Salleh Abu Bakar
  14. Ustaz Yusof Din - Naib Syukbah Dakwah Dan Perhubungan Antarabangsa Al-Arqam
  15. Syeikh Rahim Syeikh Ahmad - Ketua Setiausaha Jemaah
  16. Fakrurazi Haji Ashaari - Anak sulung Ustaz Ashaari
  17. Nizamudin Haji Ashaari - Anak Ustaz Ashaari.
  18. Hashim Ahmad
  19. Hashim Jaafar
  20. Sobri Abdul Ghani
  21. Mohd Nasib Zawawi
  22. Ustazah Hasnah - Isteri Ustaz Ashaari
  23. Hamim Rahmat - Bekas Timbalan Ustaz Ashaari
  24. Pahrol Mohamad Juoi-Bekas Anggota Polis Kebangsaan Indonesia
  25. Dr Mansor Mohd Noor-Anggota Dewan Perwakilan Negeri Selangor
  26. Abdul Aziz Ismail-Bekas Pegawai Jabatan Urusan Haji
  27. Kapten Pelayo-Anggota Marin AS menyamar sebagai anggota Al Arqam
  28. Doktor Raihan-Bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Daerah Belait dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

Ajaran

sunting

Di antara kepercayaan mereka adalah kepercayaan bahawa Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ustaz Ashaari, Sheikh al-Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam. Tindakan Ashaari yang mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir .

Ciri-Ciri

sunting

Pegangan Al-Arqam adalah berpunca dari pengajaran Ashaari Muhammad dan pegangan pengikut-pengikutnya terhadap Aurad Muhammadiah yang diantara lain memberi ajaran dan fahaman seperti berikut: [3]

  • Syeikh Muhammad As-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah, berjumpa Rasulullah saw dalam jaga dan menerima Aurad Muhammadiah daripada Baginda Rasulullah saw di dalam Kaabah.
  • Syeikh Muhammad As-Suhaimi tidak mati, tetapi ghaib dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi.
  • Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Khalifah Rasulullah saw dan meletakkan setaraf dengan Khulafa' Al-Rasyidin.
  • Rasulullah saw, para sahabat dan para aulia didakwa boleh ditemui secara jaga (majlis yaqazah) selain melalui mimpi. Mereka datang untuk mengesahkan sesuatu yang diperlukan oleh pengikut-pengikut Al-Arqam umpamanya mengenali siapa yang taat dan siapa yang tidak taat kepada Al-Arqam dan pemimpinnya.
  • Syeikh Muhammad As-Suhaimi dipercayai kononnya boleh datang menolong apabila diseru namanya.
  • Ashaari Muhammad dipercayai, selain seorang yang soleh, wali yang mempunyai karamah, adalah seorang Mujaddid akhir zaman .
  • Ashaari mendakwa dirinya dari keturunan Bani Tamim, iaitu satu rumpun dengan keturunan Nabi Muhammad saw yang memegang panji-panji Al-Mahdi. [4]

Meluaskan Pengaruh

sunting

Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan kecemerlangan organisasi dakwah tertentu. Tidak dinafikan aspek kewangan sangat penting untuk keberlangsungan sesuatu gerakan, namun banyak lagi faktor lain yang perlu diambilkira seperti aspek kepimpinan, keagamaan, keilmuan dan keintelektualan, kepengikutan, pengurusan, pembinaan dan lainnya. Sebanyak 52 buah kedai runcit dibangunkan di seluruh perkampungan Al-Arqam, 20 buah pasar mini, 36 buah kedai buku dan alat ibadat dan 18 buah restoran di seluruh Malaysia. Al-Arqam juga memiliki 56 buah kilang perusahaan di seluruh Malaysia.

Pada tahun 1993, Al-Arqam mengambil langkah yang drastik dengan menumpukan perhatian kepada dunia antarabangsa. Langkah pertama adalah dengan menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC) yang menghimpunkan 22 buah anak syarikat milik jemaah Al-Arqam. Setelah membuka pusat hubungan antarabangsa di Islamabad, Pakistan dan diberi nama Al-Arqam International Centre (AIC). Pada tahun inilah Ashaari mengisytiharkan terbentuknya Daulah Islam di bumi Malaysia, Indonesia dan Khurasan.

Krisis kepimpinan Al-Arqam bermula setelah berlakunya penyingkiran Akbar Anang pada tahun 1979 yang merupakan Ketua Unit Perkhidmatan Ummah. Menurut Akbar Anang, penyingkirannya bersama adalah kerana beliau mempersoalkan ajaran Al-Arqam , namun menurut Ashaari, Akbar Anang disingkirkan kerana beliau cuba membentuk pakatan yang bertujuan menyingkirkan Ashaari daripada tampuk kepimpinan Al-Arqam. Akbar Anang memberontak dan mendedahkan keperihalan Aurad Muhammadiah sehingga dihadapkan ke Pusat Islam pada 1979. Ashaari dilapor menafikan Kiyai Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Imam Mahadi dan berjaya membersihkan Darul Al-Arqam daripada kesangsian asas.

Diharamkan

sunting

JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) telah melihat adanya penyelewengan akidah dalam organisasi ini. Setelah bermuzakarah dengan pemimpinnya, Ashaari Muhammad, yang pertama sekali dilakukan oleh kerajaan adalah mengharamkan buku Aurad Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam pada tahun 1986.

Kini kumpulan Al-Arqam tidak lagi wujud kerana telah diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994, tetapi yang wujud ialah Kumpulan Rufaqa'. Kerajaan telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikeluarkan pada 5 Ogos 1994. Fatwa Majlis Kebangsaan itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik.

Berikutan itu Ashaari yang ditahan bersama beberapa pemimpin kanan kumpulan itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah membuat pengakuan terbuka mengenai penyelewengan Al-Arqam. Kemudian beliau dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan. Beliau dibebaskan pada 25 Oktober 2004.

Pergerakan ini juga telah diharamkan di Negara Brunei Darussalam melalui fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan pada ketika itu, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz.[5]

Beberapa Anggota Al Arqam turut ditahan di Hotel Tokyo oleh Agensi Polis Negara Jepun semasa penyerbuan bilik hotel oleh Pasukan Polis Khas Jepun[6]

Rujukan

sunting
  1. ^ Pengasas Al Arqam Meninggal Dunia.
  2. ^ Al-Arqam founder Ashaari dies The Star. 13 Mei 2010
  3. ^ "MAJLIS PENERANGAN MENGENAI KUMPULAN RUFAQA". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-09-26. Dicapai pada 2007-06-12.
  4. ^ "Abuya Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-04-19. Dicapai pada 2008-11-11.
  5. ^ "Ajaran-Ajaran Sesat Yang Telah Difatwakan". Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam. Dicapai pada 19 Januari 2019.
  6. ^ Radita (2019-05-05). "STRUKTUR DAN FUNGSI NARASI PEMBERITAAN PENYERBUAN KELOMPOK TERORISME PADA MEDIA MASSA CETAK". dx.doi.org. Dicapai pada 2024-09-14.
  • Penyelewengan Jemaah Al-Arqam dan Usaha Pemurniannya oleh Mohd. Lazim Lawee,Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, 2004. 223 halaman + indeks. ISBN 967-942-682-3.
  • Tersungkur di Pintu Syurga, Zabidi Mohamad]] , Zabidi Publication, Kuala Lumpur.
  • Ausop, Asep Zaenal , Demokrasi Dan Musyawarah Dalam Pandangan Darul Arqam, NII, Dan Hizbut Tahrir Indonesia, Jurnal Sosioteknologi Edisi 17 Tahun 8, Agustus 2009 [1] Diarkibkan 2012-01-28 di Wayback Machine
  • Seng, Ann Wan , Al Arqam di Sebalik Tabir, Penerbit Universiti Malaya, 2005.

Lihat Juga

sunting

Rujukan / Pautan luar

sunting