Taoisme
Istilah Taoisme boleh merujuk kepada falsafah dan agama:
Falsafah
- Falsafah berdasarkan teks Daode Jing yang dianggap secara meluas sebagai hasil Laozi;
- Falsafah berdasarkan "Tao" atau "Dao" hasil tafsiran ZhuangZi;
Agama
- Sekeluarga gerakan agama Cina yang terancang, seperti mazhab-mazhab Zhengyi ("Ortodoksi") dan Quanzhen, yang pada keseluruhannya boleh dikesan sehingga Zhang Daoling pada akhir Dinasti Han; atau
- Agama yang asal dari negara China.
Gambaran keseluruhan
suntingDari segi etimologi Perkataan Taosime adalah berasal dari kata akar “Tao” yang diterjemahkan dari perkataan Bahasa Cina “Dao” (道) yang erti hurufiahnya bermaksud “jalan” atau “cara”. Walaupun begitu, makna tafsiran perkataan "Dao" sebenarnya sangat luas khususnya dalam bidang falsafah Cina yang mempengaruhi kehidupan dan kebudayaan orang Cina sejak dahulu lagi. Taoisme pada asasnya adalah satu aliran pemikiran dalam falsafah Cina. Pada masa yang sama Taoisme dipraktikkan sebagai satu bentuk agama dalam masyarakat Cina. Dengan itu wujud apa yang dikatakan sebagai mazhab dao (bahasa Cina: daojia 道家) iaitu taoisme dari segi falsafah dan agama dao(Bahasa Cina: Daojiao 道教) iaitu dari segi agama.
Istilah "Taoisme" dalam perkataan bahasa Inggeris telah digunakan untuk menterjemahkan istilah Daojiao (道教) dan Daojia (道家). Aksara Tao 道 (atau Dao, tergantung kepada skim perumian yang disukai) membawa maksud harfiah "laluan" atau "cara", tetapi dalam agama dan falsalah Cina, aksara-aksara itu mempunyai maksud-maksud yang lebih abstrak. Perkataan majmuk Daojiao merujuk kepada Taoisme sebagai sebuah agama (iaitu orang yang bersembahyang di tempat pemujaan), manakala Daojia merujuk kepada kegiatan-kegiatan cendekiawan dalam bidang kajian mereka yang berdasarkan "Tao" atau "dao" .
Sumbangan Taoisme
suntingAlkimia, astrologi, masakan cara Cina, perubatan tradisional Cina, fengshui, gaya mempertahankan diri (seni silat Cina), serta qigong (ilmu teknik bernafas), novel, drama, kebudayaan Cina, pendidikan, falsafah, keagamaan,pemerintahan, pentadbiran, cara menjaga kesihatan, pemakanan dan sebagainya.
Lambang Taoisme
suntingLambang yang sering dikaitkan dengan ajaran Laozi ialah lambang "ying-yang" ("ying" bermaksud "feminin", dan "yang" bermaksud "maskulin"). Ia membayangkan kebenaran bahawa dunia ini adalah dunia dualisme, iaitu segala fenomena dalam dunia ini mempunyai dua keterlaluan. Misalnya, jika tiadanya besar, tidak akan ada kecil; jika tiadanya kiri, tidak akan ada kanan, dan sebagainya. Oleh itu, lambang ini mempunyai dua bahagian yang sama besar, separuh putih dan separuh hitam. Garis di tengah adalah melengkung dan bukannya lurus. Ini bermakna bahawa kesemua fenomena di dalam dunia ini adalah dalam keadaan sentiasa berubah-ubah. Sewaktu hitam berkembang, putih berundur, dan sebaliknya. Oleh itu, seseorang harus tidak menentangi sifat alam semesta seakan-akan ia sentiasa sama sahaja. Sebaliknya, dia harus berundur pada tempoh sebegini, dan menunggu untuk "putih" memulih. Ini adalah salah satu daripada tafsiran konsep "wei-wu-wei".
Bahagian putih mempunyai satu titik hitam, dan bahagian hitam mempunyai satu titik putih pada bahagiannya yang paling besar. Ini membawa maksud bahawa tiada sesuatu perkara di dunia ini yang benar-benar putih, dan tiada sesuatu perkara yang benar-benar hitam. Umpamanya, kejayaan (putih) akan menyebabkan keangkuhan (hitam) dan mungkinnya ketamakan (hitam). Sebaliknya, kegagalan (hitam) akan menyebabkan pembasmian keangkuhan (putih) dan kemunculan rendah hati (putih).
Walaupun lambang ini sering dikaitkan dengan ajaran Laozi, sudah tentunya Laozi tidak melukisnya. Ia dicipta oleh penganut-penganut Taoisme untuk menggambarkan konsep ajaran Laozi. Bagaimanapun, apa yang digelarkan Taoisme di Malaysia dan banyak tempat yang lain bukannya ajaran Laozi yang sebenarnya. Sebenarnya, Gautama Buddha dan Laozi tidak berniat mengagamakan ajaran mereka. Apa yang digelarkan Taoisme sebenarnya adalah adat resam dan budaya orang Cina yang telah meminjam sebahagian kecil sahaja daripada ajaran Laozi serta, kekadangnya, ajaran Buddha.
Salah faham umum
suntingDisebabkan istilah Taoisme mempunyai tafsiran yang berbeza telah menyebabkan salah faham dan menimbulkan banyak kekeliruan yang agak meluas terhadap istilah ini, baik di kalangan orang bukan Cina mahupun di kalangan orang Cina diri juga. Keadaan salah faham ini diburukkan lagi oleh budaya popular Cina, seperti filem-filem dan komik-komik Cina, yang menonjolkan taifah-taifah Taoisme yang berketerlaluan, seolah-olah taifah-taifah itu mewakili aliran utama Taoisme.
Beberapa salah faham, kekeliruan dan salah anggapan umum adalah seperti berikut:
- Taoisme menekankan unsur-unsur primitif untuk mencapai kehidupan yang abadi. Unsur-unsur primitif itu merupakan tenaga di dalam jiwa manusia yang hanya boleh dibangkitkan melalui amalan yoga dan tafakur apabila seseorang berjaya mengosongkan fikirannya. Selain itu, tenaga alam juga memberi kesan kepada manusia seperti melalui amalan feng shui. Penganut Taoisme perlu bertapa di gua-gua dan gunung-gunung untuk menghapuskan dosa.
- Taoisme menekankan anti kebendaan yang mengajak penganut-penganutnya meninggalkan hal-hal keduniaan "duniawi" supaya memperolehi tempat yang baik pada hari akhirat.
- Di sebilangan negara, termasuk Malaysia, Singapura, China, dan Taiwan, istilah itu telah digunakan untuk tafsiran Taoisme, iaitu "agama kepercayaan orang Cina" kerana agama ini tidak mempunyai nama.
- Terdapat orang yang mengamalkan agama ini tidak mengakui gelaran "Taoisme" sebagai nama agama mereka.
- Beberapa bentuk Taoisme yang terancang sering membezakan upacara amal mereka daripada upacara amal pengikut-pengikut agama kepercayaan orang Cina. Golongan Taoisme terancang itu bertanggapan bahawa kegiatan-kegiatan agama kepercayaan orang Cina itu adalah tidak wajar.
Penjelasan
suntingTaoisme menekankan pemahaman "Tao" atau hukum alam semesta untuk hidup dengan harmoni dengan unsur-unsur semula jadi di dalam dunia ini. Laozi tidak mengajar bagaimana mencapai kehidupan yang abadi. Sebaliknya, keinginan untuk mencapai kehidupan yang abadi adalah sesuatu yang dicari-carikan oleh Maharaja-maharaja China, khususnya Shih Huang Ti. Dalam pencarian cara untuk melanjutkan jangka hidup, taifah-taifah Taoisme telah mengembangkan beberapa seni silat yang kini amat popular, khususnya dengan orang-orang Cina yang hendak memperbaik kesihatan mereka. Seni-seni silat seperti tai chi dan pelbagai qigong kini juga menjadi semakin popular dengan orang-orang Barat, mungkin disebabkan minat dalam hal-hal negara China semasa negara China termuncul sekali lagi dalam arena dunia. Pengamal-pengamal tai chi, qigong, dan seni-seni silat yang lain tidak menganggap diri sebagai penganut agama. Sebenarnya tafiah-tafiah Taoisme pada zaman dahulu lebih merupakan persatuan seni silat, berbanding pertubuhan agama.
"Chi", iaitu tenaga dalam badan, bukan lagi dianggap sebagai unsur-unsur primitif tetapi telah memperoleh pengiktirafan oleh perubatan barat sebagai suatu unsur yang benar-benar terjadi dalam badan. Amalan qigong dan seni-seni yang serupa bukan untuk membangkitkan tenaga yang memang wujud di dalam badan, tetapi untuk memperbaik pengalirannya supaya mengukuhkan daya tahan tubuh terhadap serangan penyakit dan mengelakkan sebarang masalah kesihatan.
Tenaga yang serupa dengan tenanga di dalam badan itu juga terdapat di dalam alam sekitar. Selaras dengan konsep hidup dengan harmoni dengan unsur-unsur semula jadi di dalam dunia, ilmu feng shui mencuba memahami dan menguasai unsur-unsur itu. Konsep keharmonian ini juga diamalkan dalam seni bina Barat, walaupun mereka tidak menggelarkan ilmu itu sebagai "feng shui", tetapi kekadangnya menggelarkannya sebagai "pengharmonian seni bina". Bagaimanapun, ilmu feng shui kini telah dicemarkan dengan pelbagai kepercayaan karut yang mungkin dicipta oleh pengamal-pengamal feng shui semata-mata untuk mendapat untung.
Mungkin sebilangan penganut taifah Taoisme yang amat kecil pada zaman kuno bertapa di gua-gua dan gunung-gunung. Bagaimanapun, kejadian ini tidaklah dalam skala yang serupa dengan yogi-yogi India yang tinggal di dalam hutan banjaran Himalaya. Sejauh yang diketahui, Laozi tidak berbuat demikian. Oleh itu, penggunaan tingkah laku beberapa orang penganut taifah untuk mewarnakan keseluruhan kepercayaan Taoisme adalah sesuatu yang salah. Bagaimanapun, tanggapan yang salah itu memang diwujudkan oleh budaya popular Cina, khususnya novel-novel, filem-filem serta komik-komik Cina, yang menonjolkan tingkah laku itu untuk membubui cerita mereka.
Laozi tidak mengajak penganut-penganutnya meninggalkan hal-hal keduniaan "duniawi" supaya memperolehi tempat yang baik pada hari akhirat. Oleh itu, taifah-taifah Taoisme juga tidak berbuat demikian kerana mereka lagi mengutamakan hidup dalam dunia ini dan oleh itu, hendak mencapai keabadian hidup. Sebaliknya, Laozi hanya "mengutamakan kesederhanaan dan kebebasan daripada keinginan untuk mengelakkan bahaya pengetahuan dan tindakan salah". Sebenarnya, semua agama dan falsafah aliran utama mengingatkan tentang keterlaluan kebendaan. Sebagai contoh, Jesus berkata: "Adalah lebih mudah untuk seekor unta memasuki lubang jarum berbanding orang yang kaya untuk memasuki Syurga."