Pergi ke kandungan

Bahasa pencilan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bahasa pencilan, secara mutlak, merupakan sebuah bahasa semula jadi yang tidak mempunyai sebarang bukti terhadap hubungan genealoginya dengan bahasa-bahasa hidup yang lain, iaitu ia tidak dibuktikan berketurunan daripada sebuah bahasa leluhur yang sama dengan sebarang bahasa yang lain. Dengan kata yang lain lagi, ia tergolong dalam keluarga-keluarga bahasa yang hanya mempunyai sebuah bahasa tunggal. Contoh-contoh yang biasa disebut termasuk bahasa Basque, bahasa Ainu, bahasa Burushaski, dan bahasa Korea walaupun dalam setiap kes, ada segelintir ahli bahasa yang menuntut bahawa bahasa-bahasa itu mempunyai hubungan dengan lagi sebuah bahasa yang lain (sila lihat keluarga bahasa Dene-Kaukasia, Karasuk, dan Altaik untuk contohnya).

Jika konteksnya diberikan, sebuah bahasa pencilan boleh difahami sebagai sebuah bahasa yang "agak" terpencil. Umpamanya, bahasa Albania, bahasa Armenia, dan bahasa Greek biasanya dipanggil 'bahasa-bahasa pencilan Indo-Eropah'. Sedangkan bahasa-bahasa tersebut merupakan sebahagian keluarga bahasa Indo-Eropah, ia tidak tergolong dalam sebarang cabang mantap (seperti cabang bahasa-bahasa Romawi, Indo-Iran atau Germanik) tetapi sebaliknya, membentuk cabang-cabang tersendiri. Bagaimanapun, tanpa konteks yang menerangkannya, "pencilan" akan difahami dari segi mutlaknya.

Sesetengah bahasa telah menjadi bahasa pencilan pada zaman sejarah selepas kesemua bahasa saudaranya yang dikenali telah pupus. Bahasa Pirahã dari Brazil ialah salah satu contoh yang merupakan ahli keluarga bahasa Mura terakhir yang masih wujud, manakala bahasa Basque telah menjadi bahasa pencilan sejak dari masa kewujudannya didokumenkan. Keadaan bertentangan juga berlaku: Beberapa bahasa yang pada suatu ketika dianggap sebagai bahasa pencilan telah dikelaskan semula sebagai keluarga-keluarga bahasa yang kecil. Ini berlaku pada bahasa Jepun apabila ia dicamkan bahawa sesetengah "loghat" Jepun, misalnya bahasa Okinawa, merupakan bahasa-bahasa pada dirinya dan oleh itu, keluarga bahasa Japonik telah dirumuskan.

Bahasa-bahasa pencilan boleh dilihatkan sebagai kes khas untuk bahasa-bahasa yang tak dikelaskan kerana usaha-usaha yang bersungguh-sungguh tidak membuahkan sebarang hasil. Jika akhirnya, usaha-usaha itu berjaya, bahasa yang dahulu dianggap sebagai sebuah bahasa pencilan tidak akan lagi dianggap sedemikian. Ini terjadi pada bahasa Yanyuwa di Australia utara yang kini dikelaskan ke dalam keluarga bahasa Pama-Nyungan. Oleh sebab sesetengah ahli bahasa tidak selalu bersetuju tentang adakah sebuah hubungan genetik telah dibuktikan, persoalan tentang adakah sebuah bahasa merupakan bahasa pencilan yang benar atau tidak selalu dipertikaikan.

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]
  • Campbell, Lyle. (1997). American Indian languages: The historical linguistics of Native America. New York: Percetakan Universiti Oxford. ISBN 0-19-509427-1.
  • Goddard, Ives (Ed.). (1996). Languages. Handbook of North American Indians (W. C. Sturtevant, Edisi Am) (Jilid 17). Washington, D. C.: Institusi Smithson. ISBN 0-16-048774-9.
  • Goddard, Ives. (1999). Native languages and language families of North America (edisi yang disemak dan diperluas, dengan tambahan dan pembetulan). [Peta]. Lincoln, NE: Percetakan Universiti Nebraska (Institusi Smithson). (Versi peta kemas kini dalam Goddard 1996). ISBN 0-8032-9271-6.
  • Grimes, Barbara F. (Ed.). (2000). Ethnologue: Languages of the world (edisi ke-14). Dallas, TX: SIL Antarabangsa. ISBN 1-55671-106-9. ([http://www.ethnologue.com/ edisi dalam talian).
  • Mithun, Marianne. (1999). The languages of Native North America. Cambridge: Percetakan Universiti Cambridge. ISBN 0-521-23228-7 (hbk); ISBN 0-521-29875-X.
  • Sturtevant, William C. (Ed.). (1978-kini). Handbook of North American Indians (Jilid. 1-20). Washington, D. C.: Institusi Smithson. (Jilid-jilid 1-3, 16, dan 18-20 belum diterbitkan).

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]


Error: tiada nama laman disertakan (help).