Brahma
Rencana ini adalah mengenai dewa pencipta dalam agama Hindu. Untuk konsep agama Buddha, sila lihat Brahma (agama Buddha). Untuk kegunaan lain, lihat Brahman (nyahkekaburan).
Berma Berhama/Berahma | |
---|---|
Ukiran Brahma di sebuah kuil di Halebidu | |
Dewa pencipta | |
Devanagari: | ब्रह्मा |
Penggabungan: | Dewa |
Kediaman: | Brahmapura |
Pasangan: | Saraswati |
Wahana/Gunung: | Angsa |
Berma[1] (Jawi: برما ), Berhama atau Berahma (Jawi: برهما, Sanskrit: ब्रह्मा, rumi: Brahmā ) merupakan pencipta alam semesta dalam kepercayaan agama Hindu dan salah satu daripada Trimurti selain Wisnu (sebagai dewa pemelihara) dan Siwa (sebagai dewa pemusnah) yang dipercayai berterusan selama-lamanya. Brahma tidak sama dengan Brahman dalam falsafah Vedanta.
Maka, Brahma merupakan sumber, benih segala-galanya. Brahma menjadi sumber yang melahirkan ruang, masa, sebab-akibat, nama dan rupa. Secara falsafah, Brahma merupakan tahap pertama penjelmaan idea keindividuan atau ego (ahankara). Secara teologi, Brahma adalah Pencipta yang tidak dicipta (Svayambhu), Manusia Pertama.
Meskipun Brahma adalah Tuhan Maha Esa dalam fungsinya sebagai Pencipta, tidak ada kuil khusus untuk pemujaan-Nya kecuali kuil di Pushkar (berdekatan Ajmer, Rajasthan). Beberapa Purana cuba memberikan alasan yang lemah untuk menjelaskan keadaan pelik ini. Namun, kemungkinan kultus Brahma telah wujud pada zaman sebelum Veda dan kemudiannya, kebangkitan kultus-kultus Vishnu dan Siva telah mengatasi kultus Brahma. Dengan perkembangan konsep Shakti, kedua-dua Vishnu dan Siva mempunyai Shakti masing-masing untuk membantu proses ciptaan. Maka, dengan perkembangan konsep bahawa Tuhan bersatu dengan Shaktinya untuk mencipta alam semesta ini, telah menjadikan Brahma hilang fungsi, dan akhirnya kedudukannya sebagai Tuhan Maha Esa.
Setiap kuil, sama ada Vishnu dan Siva, mesti mempunyai sebuah sudut di dinding utara untuk imej Brahma. Imej ini mesti dipuja setiap hari kerana Brahma adalah Parivaradevata (Pengiring Dewa utama).
Nama-nama lain Brahma
[sunting | sunting sumber]- Hiranyagarbha - Dari segi kosmologi, Brahma adalah Embrio Emas (Hiranyagarbha), iaitu bebola api yang melahirkan alam semesta ini.
- Prajapati - Brahma dikenali sebagai Prajapati kerana semua mahkluk adalah anak-anaknya
- Pitamaha - Sebagai Pencipta, Brahma adalah Bapa atau Patriak semua mahkluk
- Vidhi (takdir)
- Lokesa (Raja dunia)
- Dhatr (pelindung)
- Viswakarma - Sebagai arkitek alam semesta ini, Brahma juga dikenali sebagai Viswakarma. Biasanya, kuil yang khusus untuk Brahma, mempunyai rupa Vishwakarma yang duduk di atas seekor burung Hamsa, dan empat tangan-Nya memegang sebuah kitab, tasbih, rumput kusa, dan kamandalu.
- Nabhija dan Kanja - Menurut mitologi Hindu, Brahma lahir daripada sekuntum teratai yang berasal dari pusat Maha Vishnu. Maka, Brahma juga mendapat nama Nabhija (yang lahir daripada pusat) dan Kanja (yang lahir di air).
Nama 'Narayana' ('seseorang yang berada di lautan' atau 'kediaman manusia') pada asalnya digunakan untuk Brahma dan hanya kemudian untuk Maha Vishnu.
Ikon Brahma
[sunting | sunting sumber]Biasanya Brahma digambarkan dengan empat kepala yang menghadap empat arah. Empat kepalanya juga secara simbolik merujuk kepada empat Veda, empat Yuga (zaman), dan empat varna (pembahagian masyarakat berdasarkan sifat semulajadi, persekitaran dan pekerjaan). Biasanya, Brahma mempunyai janggut dan mata-Nya sering tertutup dalam meditasi. Brahma mempunyai empat tangan dalam gaya-gaya berlainan. Tangan-tangan-Nya juga merujuk kepada empat arah (utara, selatan, timur, dan barat). Objek-objek yang dipegang-Nya ialah akshamala (tasbih), kurca (berus daripada rumput kusa), sruk (senduk), sruva (garpu), kamandalu (kendi), dan pustaka (kitab). Kombinasi ini sering bertukar dari imej ke imej.
Akshamala atau tasbih menunjukkan masa dan kendi air bermaksud, Air Sebeb-Penyebab yang mewujudkan dunia ini. Brahma mengawal masa dan prinsip sebab-penyebab. Rumput kusa, senduk, dan garpu mewakili sistem ritual korban. Kitab ialah simbol ilmu sekular dan ilmu rohani. Brahma adalah pemberi segala ilmu.
Tangan Brahma menandakan gaya abhaya (perlindungan) dan varada (rahmat).
Ikon Brahma biasanya berada dalam keadaan berdiri (atas sekumtum teratai) atau duduk di atas Hamsa (sejenis burung angsa). Hamsa juga adalah simbol ilmu dan diskriminasi antara baik-buruk.
Mitologi
[sunting | sunting sumber]Terdapat beberapa cerita mitos mengenai Brahma sebagai Pencipta dan Pasangan-Nya, Saraswati Devi (Dewi Ilmu). Antaranya ialah:
- Brahma telah lahir dari Telur Emas (Hiranyagarbha) yang wujud dalam Lautan yang Tidak Terbatas.Seterusnya, Vac atau Saraswati menjelma daripada Brahma. Penyatuan Brahma dan Saraswati, melahirkan semua hidupan.
- Brahma adalah simbol Veda dan Saraswati adalah maksud dan jiwa Veda. Maka, semua ilmu, sekular dan kerohanian, telah wujud daripada Mereka.
- Pada suatu ketika, Brahma menjelma sebagai seekor babi hutan dan menyelamatkan dunia yang tenggelam dalam lautan. Kemudian, Brahma mencipta para Rishi, dan Prajapati.
- Rupa kura-kura dan ikan (kemudiannya, dianggap sebagai Avatara Maha Vishnu) juga dikatakan sebagai jelmaan Brahma.
- Para Rishi seperti Atri, Marichi, dan Angiras adalah anak-anak 'minda' Brahma. Manu atau Adam bangsa Aryan adalah cicit-Nya.
- Brahma senang dipuaskan dengan disiplin agama. Golongan dewa, para rishi dan manusia juga mudah mendapatkan rahmat-Nya dengan melakukan disiplin rohani.
- Seni pementasan, lakonan, muzik dan tarian telah diperkenalkan oleh Brahma.
- Brahma adalah sami utama ketika istiadat perkahwinan Shiva dan Parvati.
Brahma di Luar India
[sunting | sunting sumber]Meskipun, di India hanya terdapat sebuah kuil Brahma di Pushkar, Rajasthan, Brahma adalah seorang dewa yang popular di luar benua India. Terdapat beberapa buah kuil-kuil Brahma di Indonesia dan Thailand.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Brahma (Agama Buddha)
- Phra Phrom
- Tuhan Pencipta
- Brahmastra
- Demiurge
- Erawan Shrine
- Narada Muni
- Dewa-dewa Hindu
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Lihat:
- Rentse, Anker (1931). "Malay Charms, Kelantan". Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. 9 (1 (111)): 146.
- Wilkinson, Richard James (1901). "برما bĕrma". A Malay-English dictionary. Hong Kong: Kelly & Walsh, limited. m/s. 97.
- Wilkinson, Richard James (1932). "Bĕrma". A Malay-English dictionary (romanised). I. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 572 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- The Brahma-Samhita - Prayers of Lord Brahma at the start of creation Diarkibkan 2009-12-10 di Wayback Machine (Brahmasamhita.com)
- Brahma's Prayers for Creative Energy from the Bhagavata Purana (vedabase.net)
- Brahma di Curlie
- Brahma: The God with Only Three Temples Diarkibkan 2008-01-20 di Wayback Machine (boloji.com)
- Indian Gods and Goddesses - Brahma (indiayogi.com)