Pergi ke kandungan

Churro

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Churro
Churro
Nama alternatifTejeringos
JenisDoh goreng
Jenis sajianSarapan, makan tengah hari, makan malam, snek
Tempat asalSepanyol Sunting ini di Wikidata
Suhu penghidanganPanas
Bahan utamaTepung
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Churro (sebutan Sepanyol [ˈtʃuro], sebutan Portugis : [ˈʃuʁu]) ialah kudapan pastri goreng yang diperbuat daripada choux. Churro adalah makanan tradisi di Sepanyol dan Portugal, yang merupakan negara asalnya, selain daripada Filipina dan Ibero-Amerika. Ia juga dimakan di Barat Daya Amerika Syarikat, Perancis, dan kawasan lain yang telah mempunyai imigrasi dari negara-negara Sepanyol dan Portugis. Di Sepanyol, ada sesetengah churro berbentuk nipis (dan kadang-kadang bersimpul) atau panjang dan tebal, yang dikenali sebagai porra di sesetengah wilayah. Selalunya, churro dimakan sebagai sarapan pagi dan dicicah ke dalam champurrado, coklat panas, dulce de leche atau café con leche. Kebiasaannya, churro ditaburkan dengan gula pasir di atasnya.

Asal usul churro tidak jelas. Ada teori yang mencadangkan ia dibawa ke Eropah dari China oleh orang Portugis. Orang Portugis berlayar ke Timur dan apabila mereka pulang dari dinasti Ming di China ke Portugal, mereka membawa pulang teknik masakan baru, termasuklah pengubahsuaian doh untuk cakoi, yang juga dikenali sebagai yóuzháguǐ di selatan China yang mirip dengan churro. Tidak lama kemudian, ia diperkenalkan di Sepanyol. Dohnya disemperit menerusi muncung berbentuk bintang dan bukan ditarik.

Terdapat teori lain bahawa churro dibuat oleh pengembala Sepanyol untuk menggantikan roti baru dibakar. Pes churro mudah disediakan dan ia digoreng di atas unggun api di kawasan pergunungan, di mana mereka biasa berada. [1]

Penyediaan

[sunting | sunting sumber]
Penyemperitan adunan untuk churro di Strasbourg
Churro di Guatemala
Seorang penjaja di Colombia sedang membuat churro

Churro digoreng sehingga menjadi garing, dan boleh ditaburi dengan gula. Permukaan churro yang bergerigi terhasil kerana ia disemperit melalui churrera, iaitu alat seperti picagari dengan muncung berbentuk bintang. Churro secara umumnya berbentuk prisma, lurus, berkerekot ataupun berlingkar.

Seperti pretzel, churro dijual oleh penjaja yang menggorengnya panas-panas dan dijual di tepi jalan. Di Sepanyol dan sebahagian besar Amerika Latin, churro boleh didapati di kafe sebagai sarapan pagi, walaupun ia boleh dimakan sepanjang hari sebagai snek. Churrerías khas, sama ada dalam bentuk kedai atau treler, boleh ditemui ketika musim perayaan. Di samping itu, negara-negara seperti Colombia, Peru, Sepanyol, dan Venezuela mempunyai churrerías di sepanjang jalan. Di Portugal, churro biasanya dimakan di karnival, pameran dan pelbagai jenis perayaan. Ia dimasak segar di gerai jalanan.

Dohnya diperbuat daripada campuran tepung, air dan garam. Sesetengah versi pula menggunakan doh kentang.

Di Seville (Andalusia), nama "calientes" atau "calentitos de rueda" kadangkala digunakan untuk menggantikan gelaran "churro". Biasanya ia merujuk kepada varian tebal, yang dipanggil porra. Calientes biasanya digoreng dalam bentuk lingkaran selanjar, kemudian ia digunting kecil. Bahagian tengah lingkaran itu lebih tebal dan lembut. Ramai menyukai bahagian tersebut. "Churro" juga biasa dijual dengan nama "calentitos de papas". Nama itu merujuk kepada tekstur lembut kentang lecek.[2][3]

Di sesetengah bahagian timur Andalusia, doh yang jauh lebih nipis digunakan, sehinggi gerigi tidak dapat terbentuk di permukaan churro. Oleh itu, ia mempunyai permukaan yang licin dan bertekstur lebih lembut. Diameternya sedikit nipis berbanding churro Sepanyol biasa. Selain itu, churro ini tidak ditaburi gula kerana mereka beranggapan rasanya tidak sesuai.

Churro yang lurus dan berinti boleh ditemui di Cuba (ia diisi dengan buah, contohnya jambu batu), Brazil (dengan coklat, doce de leite, antara contoh lain), dan di Argentina, Bolivia, Peru, Chile dan Mexico (biasanya ia diisi dengan dulce de leche, cajeta, coklat dan vanila). Di Colombia dan Venezuela, churro disadur dengan arequipe dan susu pekat manis. Di Sepanyol, diameter yang lebih luas digunakan untuk menampung inti. Di Uruguay, churro juga boleh didapati dalam versi yang savuri dan dipenuhi dengan keju cair.

Di Filipina, churro biasanya berbentuk lurus, dibentuk menjadi U atau bulat. Biasanya ia ditaburkan dengan gula pasir. Churro biasanya dimakan dengan air tsokolate (gabungan yang dikenali sebagai churros con tsokolate), yang juga dijadikan pencicah. Ia popular ketika musim Krismas.[4]

Churro di taman tema dan pesta jalanan Amerika biasanya disaluti dengan gula kayu manis atau gula berperisa lain.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ "Churros: The Hidden History". The Huffington Post. 2011-08-18. Dicapai pada 2011-10-16.
  2. ^ Díaz, Ana (2012-10-31). "Calentitos versus churros". ABC. Dicapai pada 19 Jun 2014.
  3. ^ "La muralla duda: rueda o papa". Diario de Sevilla. 18 Mei 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Ogos 2014. Dicapai pada 19 Jun 2014.
  4. ^ Aranas, Jennifer (2012). The Filipino-American Kitchen: Traditional Recipes, Contemporary Flavors. Tuttle Publishing. ISBN 9781462904914.