Pergi ke kandungan

Anjing gembala Basque

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing gembala Basque
Seekor anjing muda, jenis Gorbeiakoa
Negara asalSepanyol
Trait
Berat Jantan
  • Gorbeiakoa: 18–36 kg (40–79 lb)
  • Iletsua: 18–33 kg (40–73 lb)
Betina
  • Gorbeiakoa: 17–29 kg (37–64 lb)
  • Iletsua: 17–30 kg (37–66 lb)
Tinggi Jantan
  • Gorbeiakoa: 47–61 cm (19–24 in)
  • Iletsua: 47–63 cm (19–25 in)
Betina
  • Gorbeiakoa: 46–59 cm (18–23 in)
  • Iletsua: 46–58 cm (18–23 in)
Bulu
  • sederhana panjang
  • Gorbeiakoa: licin, lembut
  • Iletsua: kasar
Warna
  • Gorbeiakoa: merah, perang kekuning-kuningan
  • Iletsua: kayu manis, perang kekuning-kuningan
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gembala Basque[a] ialah satu baka anjing gembala biri-biri tradisional Sepanyol yang berasal dari bekas Negara Basque bersejarah.[1]:535 Ia dipercayai berasal daripada anjing gembala Eropah Tengah.[perlu rujukan]

Ia merupakan salah satu daripada lima baka Basque bagi anjing – yang lain merupakan anjing pemburu Navarra, anjing penuding Navarra, villano de las Encartaciones, dan villanuco de las Encartaciones[2][3] – dan salah satu daripada empat belas baka haiwan yang asli di Negara Basque.[4]

Anjing gembala Basque ialah baka tradisional orang Basque dan anjing jenis ini muncul dalam mitologi Basque.[1]:536 Anjing serupa muncul dalam fresko di gereja dan biara di Negara Basque dari abad keenam belas dan seterusnya dan kemudian juga dalam lukisan daripada seniman seperti Luis Paret y Alcázar, Gustave Doré, dan Adolfo Guiard.[1]:536

Baka ini diiktiraf oleh Real Sociedad Canina de España pada Januari 1996 dengan dua keragaman, Iletsua dan Gorbeiakoa;[5]:440 keragaman Gorbeiakoa berasal dari rantau Gorbea[6] dan keragaman Iletsua memaksudkan "berbulu" atau "berjumbai" dalam bahasa Basque.[perlu rujukan] Ia diiktiraf secara rasmi – dan piawaian baka diterbitkan – oleh pemerintah kebangsaan Sepanyol pada tahun 2001 pada awalnya hanya menurut jenis Gorbeiakoa;[7]:21179 varian Iletsua diiktiraf pada tahun berikutnya.[8]:15116 Juga pada tahun 2001, baka ini dengan kedua-dua variannya disertakan dalam senarai rasmi baka autokton Basque yang diterbitkan oleh pemerintah Komuniti Berautonomi Basque;[9]:1087 perundangan spesifik yang mengawal atur pembiakbakaan dan pendaftaran diterbitkan pada tahun 2003.[10]

Pada tahun 2009, jumlah bilangan kedua-dua subjenis baka ini dianggarkan pada 500.[1]:536 Walaupun varian Gorbeiakoa menurut sejarah terpaut pada municipio Taman Negara Gorbeia, varian ini dan varian Iletsua tertabur di serata rantau bersejarah Basque.[1]:536

Pada tahun 1950-an, sesetengah orang Basque membawa anjing gembala biri-biri bersama dengan mereka semasa mereka berjalan ke Amerika Syarikat untuk bekerja sebagai gembala.[11]

Kedua-dua keragaman mempunyai banyak ciri bersama. Tubuhnya kuat dan bergaris luar segi empat tepat, biasanya sekitar 10–20% lebih panjang daripada ketinggiannya. Matanya bujur dan mungkin berwarna perang atau ambar, telinganya bersaiz sederhana, berbentuk segi tiga, dan sama ada tergantung atau terlipat.[1]:537

Keragaman Gorbeiakoa mempunyai lapis bulu licin lembut sederhana panjang yang lebih pendek pada muka dan pada hadapan tungkai dan agak lebih panjang pada belakang tungkai. Lapis bulunya sama ada berwarna merah api atau perang kekuning-kuningan; jika merah, sesetengah penggelapan muncul adalah lazim. Jantan berdiri setinggi kira-kira 47–61 cm (19–24 in) pada paras kelasa dan biasanya berukuran seberat 18–36 kg (40–79 lb); betina pula lebih kecil sedikit dengan berat dalam julat 17–29 kg (37–64 lb).[6]

Lapis bulu bagi keragaman Iletsua adalah lebih kasar dan lebih mirip dawai berbanding dengan lapis bulu keragaman Gorbeiakoa. Lapis bulunya sederhana panjang, agak lebih pendek pada hadapan tungkai. Warnanya sama ada kayu manis atau perang kekuning-kuningan. Jantan berdiri setinggi 47–63 cm (19–25 in) dan berukuran seberat 18–33 kg (40–73 lb), betina setinggi 46–58 cm (18–23 in) dengan berat sehingga 30 kg (66 lb).[12]

Anjing gembala Basque telah digunakan selama berabad-abad oleh para gembala di Negara Basque untuk menjaga dan menggembala kawanan biri-biri. Ia juga telah digunakan dalam pengurusan kawanan kambing dan kawanan lembu atau kuda dan untuk menjaga rumah ladang.[1]:535

Ia merupakan anjing yang paling lazim digunakan dalam txakur probak, ujian tradisional anjing gembala Basque.[13]:294 Ia juga telah berjaya dalam ujian anjing gembala di peringkat antarabangsa, termasuk yang diadakan sejak tahun 1950 di Oñati, di Gipuzkoa barat daya.[1]:535

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا بسک; Basque: euskal artzain txakur; Sepanyol: perro de pastor vasco; pastor vasco; bahasa Inggeris: Basque shepherd dog; Basque sheepdog; Basque herder
  1. ^ a b c d e f g h Rodríguez, Miguel Fernández; Fernández, Mariano Gómez; Delgado-Bermejo, Juan Vicente; Belmonte, Silvia Adán; Cabras, Miguel Jiménez, penyunting (1 Oktober 2009). Guía de campo de las razas autóctonas españolas [Panduan Lapangan Baka Anjing Autokton Sepanyol] (dalam bahasa Sepanyol). Madrid, Sepanyol: Kementerian Alam Sekitar dan Persekitaran Luar Bandar dan Laut. ISBN 9788449109461. OCLC 804450785.
  2. ^ Fernández, Mariano Gómez (2002). "Las razas de ganado autóctonas vascas en el pastoreo vasco" [Baka Haiwan Ternakan Autokton Basque di Padang Ragut Basque]. Annals del Centre d'Estudis Comarcals del Ripollès (dalam bahasa Sepanyol). Centre d'Estudis Comarcals del Ripollès. 2002: 279–290. ISSN 2339-9716. S2CID 178717549.
  3. ^ Gómez, M.; Amezaga, I. (April 2003). "Conservation of livestock genetic resources in Euskadi (Basque Country)" [Pemuliharaan sumber genetik haiwan ternakan di Euskadi (Negara Basque)]. Animal Genetic Resources (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press. 33: 41–55. doi:10.1017/S1014233900001620. ISSN 2078-6344. S2CID 86708830.
  4. ^ [s.n.] (11 January 2010). Programa de Desarrollo Rural del País Vasco 2007–2013 (dalam bahasa Sepanyol). Eusko Jaurlaritza/Gobierno Vasco. Nekazaritza, Arrantza eta Elikagai Saila/Departamento de Agricultura, Pesca y Alimentación. Dicapai pada 21 Mac 2024.
  5. ^ Avila, W. J.; Gómez, M.; de Chávarri Echaniz, Elisabeth González (1998). "Variabilidad de células sanguíneas mediante lectinas fluorescentes en la raza canina Euskal Artzain Txacurra" [Kebolehubahan sel darah menurut lektin pendarfluor pada baka anjing gembala Basque]. Archivos de Zootecnia (dalam bahasa Sepanyol). Universiti Córdoba. 47 (178–179): 439–443. ISSN 1885-4494. S2CID 82583779.
  6. ^ a b Perro de Pastor Vasco (Euskal Artzain Txakurra (variety Gorbeiakoa or from Gorbea) (dalam bahasa Sepanyol). Real Sociedad Canina de España. Diarkibkan pada 23 Oktober 2018.
  7. ^ [Ministerio de Agricultura, Pesca y Alimentación] (25 Mei 2001). Real Decreto 558/2001, de 25 de mayo, por el que se regula el reconocimiento oficial de las organizaciones o asociaciones de criadores de perros de raza pura (dalam bahasa Sepanyol). Boletín Oficial del Estado 142 (14 Jun 2001): 21156–21182. Rujukan: BOE-A-2001-11347.
  8. ^ [Ministerio de Agricultura, Pesca y Alimentación] (17 April 2002). Orden APA/880/2002, de 17 de abril, por la que se actualiza el anexo del Real Decreto 558/2001, de 25 de mayo, por el que se regula el reconocimiento oficial de las organizaciones o asociaciones de criadores de perros de raza pura (dalam bahasa Sepanyol). Boletín Oficial del Estado 98 (24 April 2002): 15116–15117. Rujukan: BOE-A-2002-7770.
  9. ^ Juan José Ibarretxe Markuartu (26 Disember 2001). N°-429: Decreto 373/2001, de 26 de diciembre, sobre razas animales autóctonas vascas y entidades dedicadas a su fomento (dalam bahasa Basque)(dalam bahasa Sepanyol). Euskal Herriko Agintaritzaren Aldizkaria/Boletín Oficial del País Vasco 14: 1080–1087.
  10. ^ Gonzalo Sáenz de Samaniego Berganzo. (9 Disember 2003). N°-201: Orden de 9 de diciembre de 2003, del Consejero de Agricultura y Pesca, por la que se aprueba la reglamentación específica de la raza canina Euskal Artzain Txakurra. (dalam bahasa Basque)(dalam bahasa Sepanyol). Euskal Herriko Agintaritzaren Aldizkaria/Boletín Oficial del País Vasco 9 (15 Januari 2004): 741–750.
  11. ^ Ernest Hartnagle dan Jeanne Joy Hartnagle-Taylor (2007). Vanished Trials and Faded Memories of Australian Shepherd History (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan pada 30 April 2020.
  12. ^ Perro de Pastor Vasco (Euskal Artzain Txakurra) (variety Iletsua) (dalam bahasa Sepanyol). Real Sociedad Canina de España. Diarkibkan pada 23 Oktober 2018.
  13. ^ Zallo, Ramón (2006). Basques, Today: Culture, History and Society in the Age of Diversity and Knowledge [Orang Basque, Kini: Budaya, Sejarah, dan Masyarakat pada Zaman Kepelbagaian dan Pengetahuan] (dalam bahasa Inggeris). Irún, Sepanyol: Alberdania. ISBN 9788496643598. OCLC 434284323.

Templat:Baka haiwan Basque