Pergi ke kandungan

Daerah Marudi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Marudi
Pemandangan pekan Marudi
Pemandangan pekan Marudi
Peta daerah Marudi
Peta daerah Marudi
Negara Malaysia
Wilayah Sarawak
BahagianMiri
Pusat pentadbiranMarudi
PBTMajlis Daerah Marudi
Keluasan
 • Jumlah3,079 km2 (1,189 batu persegi)
Penduduk
 (2020)
 • Jumlah18,838
 • Kepadatan6.1/km2 (16/batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (MST)
 • Musim panas (DST)Tiada
Poskod
98xxx

Marudi merupakan sebuah daerah yang terletak di bawah pentadbiran Bahagian Miri, dalam wilayah Sarawak, Malaysia. Pusat pentadbiran bagi daerah ini terletak di Pekan Marudi.

Daerah ini memiliki keluasan sebanyak 3,079 kilometer persegi dan jumlah penduduk seramai 18,838 orang pada tahun 2020. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan orang Iban dan Orang Ulu, yang terdiri daripada etnik Kayan, Kenyah, Kelabit dan lain-lain.

Marudi pada asalnya adalah sebahagian daripada kawasan jajahan Brunei. Pada 19 Jun 1882, Kerajaan Brunei telah menyerahkan kawasan daripada Tanjung Kidurong sehingga ke Kuala Baram kepada Kerajaan Sarawak yang pada ketika itu berada di bawah pemerintahan Charles Brooke. Marudi kemudiannya telah dijadikan sebagai sebuah daerah, iaitu daerah Baram.

Pada tahun 1945, daerah Baram telah diletakkan di bawah pentadbiran Bahagian Keempat yang juga merangkumi Daerah Miri dan Bintulu. Nama daerah Baram kemudiannya ditukar kepada daerah Marudi.[1]

Pada 1 Ogos 2015, sebanyak tiga daerah dan satu daerah kecil baharu telah dipisahkan dari pentadbiran daerah Marudi.[2]

Pentadbiran

[sunting | sunting sumber]

Daerah Marudi terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Marudi yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran Bahagian Miri. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir daerah ini pula ialah Majlis Daerah Marudi. Terdapat satu daerah kecil yang berada di bawah pentadbiran daerah ini, iaitu Mulu.

Daerah Marudi diletakkan di bawah dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Marudi (N76) dan Mulu (N78) yang terletak di bawah kawasan Parlimen Baram (P220).

Puncak Gunung Mulu

Daerah Marudi terletak di timur negeri Sarawak, juga di utara bahagian Miri. Daerah Marudi bersempadan dengan daerah Limbang di timur laut, daerah kecil Bario di timur, daerah Telang Usan di selatan, daerah Beluru di barat dan daerah Miri di barat laut. Daerah ini juga mempunyai sempadan antarabangsa dengan daerah Belait, Brunei di utara.

Daerah Marudi mempunyai keluasan kira-kira 3,079 kilometer persegi dan mempunyai titik tertinggi mencecah 2,376 meter. Bentuk muka bumi daerah ini kebanyakannya merupakan kawasan rata dan mendatar, namun terdapat juga kawasan yang berbukit di sempadan antara Malaysia dan Brunei. Di timur daerah pula merupakan kawasan bergunung-ganang menempatkan gunung tertinggi di daerah ini, iaitu Gunung Mulu yang terletak di Taman Negara Mulu. Gunung ini juga merupakan gunung kedua tertinggi di Sarawak.

Antara sungai utama di daerah ini ialah Batang Baram dan Sungai Tutoh.

Demografi

[sunting | sunting sumber]
Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
197039,494—    
198049,219+24.6%
199171,958+46.2%
200071,713−0.3%
201062,883−12.3%
202018,838−70.0%
Data tahun 1970–2010 termasuk daerah Beluru, Telang Usan dan Bario.
Sumber: [3]
Kumpulan etnik warganegara (2020)
Etnik Peratusan
Bumiputera lain
  
71.6%
Melayu
  
15.1%
Cina
  
12.1%
Lain-lain
  
1.2%

Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Marudi ialah seramai 18,838 orang dengan kepadatan penduduk enam orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk jarang. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 5,408 isi rumah dengan 6,967 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Marudi merupakan Bumiputera Sarawak, dengan majoriti antara mereka berbangsa Iban dan Orang Ulu. Penduduk berbangsa Cina membentuk kumpulan bukan Bumiputera terbesar di daerah ini. Penduduk bukan warganegara terdiri daripada 2,361 orang.[4][5]

Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[4]
Status Bangsa Jumlah
Warganegara Melayu 2,492
Bumiputera lain 11,794
Cina 2,001
India 13
Lain-lain 177
Bukan warganegara - 2,361
Jumlah 18,838
Agama di Marudi - Banci 2020
Agama Peratusan
Kristian
  
64.8%
Islam
  
26.5%
Buddha
  
7.7%
Lain-lain
  
0.5%
Tidak beragama
  
0.5%

Di daerah Marudi, agama Kristian merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 64 peratus diikuti agama Islam sebanyak lebih 26 peratus. Penduduk beragama Buddha membentuk kelompok ketiga terbesar dengan peratusan lebih tujuh peratus daripada jumlah penduduk. Terdapat juga penduduk beragama lain seperti Hindu atau tidak beragama yang membentuk kumpulan minoriti di daerah ini.

Bilangan penduduk mengikut agama (2020)
Agama Jumlah
Kristian 12,204
Islam 4,999
Buddha 1,461
Hindu 8
Lain-lain 79
Tidak beragama 87
Jumlah 18,838

Kemudahan

[sunting | sunting sumber]

Perhubungan

[sunting | sunting sumber]
Lapangan Terbang Marudi

Rangkaian jalan raya di daerah Marudi sangat terhad. Hanya pekan Marudi sahaja yang boleh diakses dengan jalan raya. Hanya terdapat satu jalan raya yang menghubungkan pekan Marudi dengan Miri. Satu jambatan baharu yang merentasi Sungai Baram telah dibina, menggantikan perkhidmatan feri.[6]

Projek pembinaan jalan yang menghubungkan Miri, Marudi dan Mulu juga sedang dijalankan. Projek yang telah dirancang kerajaan negeri ini melibatkan pembinaan jalan baharu Miri–Marudi, jalan Long Panai–Long Lama dan jalan Marudi–Mulu.[7]

Terdapat dua lapangan terbang kecil yang dibina di daerah ini iaitu Lapangan Terbang Marudi dan Lapangan Terbang Mulu.

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Terdapat 77 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah yang berada di sekitar daerah Marudi. DI daerah ini juga terdapat seramai 977 orang guru bertugas di sekolah rendah dan 334 orang guru bertugas di sekolah menengah. Sekolah di daerah ini menampung jumlah pelajar seramai 6,195 pelajar sekolah rendah dan 4,466 pelajar sekolah menengah.

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Terdapat sebuah hospital kerajaan di daerah Marudi iaitu Hospital Marudi yang dilengkapi dengan 54 katil pesakit. Daerah Marudi juga mempunyai empat klinik kesihatan.

  1. ^ "Pengenalan Miri". Portal Rasmi Pejabat Pentadbiran Bahagian Miri. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Ogos 2020. Dicapai pada 16 November 2024.
  2. ^ "Pengenalan Daerah Marudi". Portal Rasmi Pejabat Pentadbiran Bahagian Miri. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Ogos 2020. Dicapai pada 16 November 2024.
  3. ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
  4. ^ a b "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
  5. ^ "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
  6. ^ Annuar, Steve (10 November 2024). "Jambatan Marudi boleh digunakan bermula hari ini". Utusan Borneo. Dicapai pada 16 November 2024.
  7. ^ Kiew, Philip (12 November 2024). "Works on Miri-Marudi-Mulu roads set to kick off late 2025". The Borneo Post (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 16 November 2024.